Make your own free website on Tripod.com

INSTITUT TADBIRAN AWAM NEGARA
KAMPUS WILAYAH UTARA
SUNGAI PETANI
KEDAH

TEL : 604-4218321   FAKS : 604-4214489

Teori 'Multiple Intelligences' (Pelbagai Kepintaran) Howard Gardner

Abdul Aziz bin Hussein Sazally

 

Dr. Howard Gardner ialah professor pendidikan di sekolah sarjana pendidikan Harvard dan professor adjunct neurologi di sekolah perubatan Universiti Boston. Pada tahun 1983, beliau telah menghasilkan buku, 'Frames of Minds: The Theory of Multiple Intelligences' .Dalam buku ini, beliau telah memperkenalkan teorinya mengenai 'multiple intelligences' (pelbagai kepintaran).
 

Jangkaan Gardner ialah teori itu akan membangkitkan banyak reaksi di kalangan rakan ahli-ahli psikologi. Bagaimanapun, kebanyakan response kepada teori ini adalah positif terutamanya daripada kalangan pendidik.
 

Semasa penerbitan buku ini, sebanyak tujuh pelbagai kepintaran telah diketengahkan. Dalam tahun 1997, satu lagi jenis kepintaran telah diperkenalkan menjadikan kesemuanya lapan sehingga kini.
 

Teori 'multiple intelligences', pada asasnya, menolak kepintaran yang semata-mata didasarkan kepada parameter logik- matematik dan linguistik, yang kebiasaannya digunakan untuk ujian-ujian IQ .kini dan rata-rata dalam sistem pendidikan. Gardner berpandangan bahawa manusia mempunyai kepintaran-kepintaran lain selain daripada kepintaran logik-matematik dan linguistik.
 

Terdapat sekurang-kurangnya enam lagi kepintaran selain daripada dua yang disebut di atas. Enam yang lainnya ialah kepintaran-kepintaran muzikal, spatial-visual, kinestetik, interpersonal, intrapersonal dan 'naturalist'.
 

Mengikut teori ini, semua manusia memiliki kesemua lapan kepintaran ini sebagai sebahagian daripada lumrah species. Disebabkan faktor-faktor genetik dan persekitaran, tiada dua individu memiliki profail kepintaran yang sama walaupun antara pasangan kembar identikal.
 

Bagi memperjelaskan pelabagai kepintaran yang dimaksudkan, Gardner telah memilih tujuh individu yang dikatakan memiliki setiap kepintaran secara menonjol dalam bukunya, 'Creating minds: An Anatomy of Creativity' (1993). Bagi mewakili kepintaran 'naturalist' (kelapan) yang diperkenalkan pada tahun 1997, Charles Darwin telah dipilih.

1. Kepintaran Linguistik.
Kepintaran linguistik terdapat pada individu yang mempamirkan kebolehan menggunakan perkataan dengan mudah dan berkesan. Bahasa menjadi sesuatu alat yang paling penting dan indah bagi melahirkan perasaan, menjelaskan sesuatu yang kompleks serta untuk menyerap maklumat. T S Eliot, seorang penyajak mewakili kepintaran linguistik.
 

2. Kepintaran Logikal-Matematikal.
Albert Einstein, ahli fizik terkenal dikatakan memiliki kepintaran logikal-matematikal yang mengagumkan. Kepintaran ini memberi pemiliknya keupayaan memaharni perkara-perkara kompleks yang melibatkan penguasaan angka numeral bagi tujuan analisis dan penyelesaian masalah. Kekuatan adalah terletak kepada kemampuan melihat dengan jelas pola dan hubungan antara objek dan angka.
 

3. Kepintaran Muzikal
Kepintaran ini memberi kebolehan kepada seseorang untuk memahami, mengintepretasikan, melahir serta membentuk dan memanipulasikan bunyi -bunyian secara kreatif . Individu yang mewakili kepintaran ini ialah Igor Stravinsky, seorang pemuzik. Mereka yang mempunyai kepintaran ini sangat sensitif kepada prinsip-prinsip melodi, rentak dan kualiti tone dalam seni muzik.
 

4. Kepintaran Visual-Spatial
Individu yang memiliki kepintaran Inl berkebolehan melihat persekitaran dalam tiga dimensi dan menilai ruang daripada perspektif perhubungan elemen-elemen dalam persekitaran. Kepintaran Ini memberi kelebihan kepada pemiliknya untuk membaca, mentafsir dan menghasil peta, carta, pelan dan lukisan serta mempunyai daya arah yang baik. Kepintaran ini diwakili oleh pelukis Pablo Picasso.
 

5. Kepintaran Kinestetik
Kepintaran ini dimiliki oleh individu-individu yang telah menguasai pergerakan motor badan sehingga mampu membawanya ke satu tahap yang membolehkannya mahir dalam bidang-bidang seperti sukan padang, jimnastik, renang dan aktiviti fizikal yang lainnya. Gardner telah memilih Martha Graham, seorang penari untuk mewakili kepintaran ini. Mereka yang mempunyai kepintaran ini biasanya suka kepada pekerjaan atau usaha yang melibatkan manipulasi objek dan pergerakan.
 

6. Kepintaran Interpersonal
Kepintaran ini diwakili oleh Mahatma Gandhi, yang dikatakan memiliki kelebihan dalam berkomunikasi dengan manusia daripada pelbagai etnik dan agama untuk mencapai sesuatu kebaikan kepada semua. Individu seperti ini mempunyai keupayaan memahami dan mampu membezakan perasaan dan tujuan orang serta boleh berinteraksi dan memberi arah tuju.

7. Kepintaran Intrapersonal
Kepintaran ini berrnaksud kebolehan memproses/berkomunikasi secara dalaman ke arah membentuk kefahaman mengenai diri dan menggunakannya untuk sesuatu kebaikan. Sigmund Freud (ahli neurologi/ psikologi) dipilih oleh Gardner sebagai mewakili kepintaran ini.
 

8. Kepintaran Naturalist
Kepintaran ini adalah tambahan terakhir, sungguhpun diperkatakan bahawa kepintaran 'spiritual/existentialist' mungkin dipertimbangkan sebagai yang kesembilan. Kepintaran 'naturalist' yang diwakili oleh Charles Darwin dikatakan satu kebolehan mengasing, mengklasifikasi dan mempergunakan ciri-ciri alam persekitaran. Dalam kehidupan harian, mereka yang mempunyai kepintaran ini lebih sensitif dan mendekati kepada kebimbangan/isu persekitaran global, isu kemanusiaan dan kehidupan sejagat.
 

Teori Howard Gardner ini menarik untuk kita berfikir bersama. Jika kita perhatikan, kemahiran-kemahiran yang dikatakan 'pelbagai kepintaran' ini memang boleh diperhatikan wujud di kalangan kita. Tetapi sama ada kemahiran-kemahiran ini berdiri sebagai 'kepintaran berasingan' (walaupun kesemuanya bertindak bukan secara berasingan) atau dipacu oleh satu 'kepintaran' yang pada asasnya menentukan keupayaan kita untuk menguasai lain-lain kemahiran adalah satu perkara yang patut direnungi.

Tapi sebelum sesuatu posisi diambil, elok juga dikaji dahulu definisi kepintaran dan juga premis-premis asas (8 kriteria bagi mengenalpasti kepintaran: lihat http://surfaquarium.com/micrit.htm yang ditetapkan oleh Howard Gardner dalam mengutarakan teorinya. (Kepintaran, mengikut Gardner ialah kebolehan mencari dan menyelesaikan masalah dan menghasilkan produk-produk bernilai dalam conteks budaya sendiri ). Apa pun, teori Gardner telah banyak mencetuskan minat di kalangan pendidik untuk terus mengkaji dan mencipta gaya dan metodologi pembelajaran daripada sudut bagaimana seseorang itu belajar, berlainan dengan cara yang berlandaskan linguistik dan logik-matematik semata-mata.